Empowering Every Mother’s Journey: Perjalanan Penyusuan Yang Tidak Mudah, Tapi Berbaloi - Bila bercakap tentang penyusuan susu ibu, Nad rasa setiap ibu ada cerita masing-masing. Ada yang nampak mudah dari luar, tetapi hanya ibu yang melaluinya tahu betapa banyaknya tenaga, masa, emosi dan pengorbanan yang diperlukan.
Nad sendiri pernah melalui fasa menyusukan anak. Jujurnya, bukan mudah. Ada hari rasa yakin, ada hari rasa penat. Ada masa tertanya-tanya cukup ke susu, betul ke cara menyusu, macam mana nak bahagi masa antara bayi, kerja rumah dan diri sendiri.
Sebab itu apabila saya berpeluang menghadiri sambutan World Breastfeeding Month 2026 anjuran Toshiba Lifestyle Malaysia bersama Parenthood, saya rasa topik yang dibawa memang sangat dekat dengan hati saya sebagai seorang mommy.
Program Empowering Every Mother's Journey
Bertemakan “Empowering Every Mother’s Journey”, program ini bukan sekadar bercakap tentang penyusuan, tetapi lebih kepada bagaimana kita sebagai keluarga dan masyarakat boleh memberikan sokongan kepada seorang ibu sepanjang perjalanan tersebut.
Sebagai ibu menyusu, sokongan itu sangat penting, satu perkara yang Nad belajar sepanjang pengalaman menyusukan anak ialah, seorang ibu memang perlukan supportive environment.
Kadang-kadang ibu bukan perlukan orang untuk memberitahu apa yang dia patut buat. Ibu cuma perlukan seseorang yang boleh berkata, “Tak apa, awak dah cuba yang terbaik.”
Sebab penyusuan susu ibu bukan sekadar bayi menyusu dan ibu menyediakan susu. Ia melibatkan rutin harian yang panjang. Ibu perlu bangun malam, menyusukan bayi, mengepam susu jika perlu, menjaga pemakanan dan memastikan badan mendapat rehat yang mencukupi.
Dalam masa yang sama, ibu juga perlu menguruskan rumah, anak-anak lain, pekerjaan dan macam-macam lagi.
Sebab itu saya sangat suka mesej yang dibawa menerusi forum ini. Perjalanan setiap ibu adalah berbeza dan kita tidak sepatutnya membandingkan perjalanan seorang ibu dengan ibu yang lain.
World Breastfeeding Month 2026
Majlis ini dirasmikan oleh YB Yeo Bee Yin, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat.
Forum turut menampilkan panel seperti Elizabeth Richard, Perunding Laktasi Bertauliah & Pakar Penjagaan Bayi serta Natasha Hudson, selain YB Yeo Bee Yin. Perbincangan mereka banyak menyentuh tentang realiti penyusuan susu ibu, kepentingan pendidikan, sokongan dan membuat pilihan berdasarkan maklumat yang betul.
Bagi Nad, ini yang menarik. Bila kita dengar pengalaman dan pandangan daripada pelbagai pihak, kita sedar bahawa perjalanan penyusuan memang mempunyai cabaran tersendiri.
Kadang-kadang cabaran bukan sebab ibu tidak mahu menyusukan anak. Tetapi mungkin kerana kurangnya maklumat, kurang sokongan atau ibu sendiri terlalu tertekan dengan tanggungjawab harian.
Jadi, daripada kita bertanya, “Kenapa tak menyusu?” atau “Kenapa susu sikit?”, mungkin lebih baik kita tanya, “Apa yang saya boleh bantu?”
Nampak macam ayat yang ringkas, tetapi untuk seorang ibu, sokongan sebegitu boleh memberikan semangat yang besar.
Kalau imbas kembali pengalaman sendiri, ada banyak perkara yang Nad lalui sepanjang menyusukan anak dari anak pertama sampai anak ketiga.
Ada waktu rasa seronok sebab dapat memberikan susu ibu kepada anak. Tetapi dalam masa yang sama, ada juga waktu rasa sangat penat.
Mak menyusu ni memang memerlukan banyak kesabaran.
Kita kena sentiasa fikir tentang anak. Belum lagi kalau anak meragam, tidur tak cukup atau ibu sendiri perlu keluar bekerja dan menjalankan rutin harian.
Sebab itu Nad percaya, ibu menyusu bukan sahaja perlukan sokongan dari segi fizikal tetapi juga sokongan emosi.
Suami, keluarga dan orang sekeliling memainkan peranan yang sangat besar. Tolong ibu buat kerja rumah, beri peluang untuk ibu berehat, jangan terlalu cepat menghakimi dan paling penting, beri kata-kata semangat.
Kadang-kadang benda kecil seperti suami basuhkan botol pam susu, tolong jaga bayi sekejap atau keluarga memahami apabila ibu perlukan masa untuk mengepam pun sudah cukup membantu.
Toshiba Bawa Sokongan Melalui Inovasi
Apa yang menarik tentang inisiatif Toshiba kali ini ialah mereka bukan hanya mengadakan forum, tetapi turut mengambil langkah untuk membantu pusat penjagaan selepas bersalin.
Toshiba Lifestyle Malaysia telah menyumbangkan pelbagai perkakas rumah seperti peti sejuk, mesin basuh, mesin pengering dan mesin pencuci pinggan mangkuk kepada The Nesting Place Confinement Centre, Kimporo Postnatal Rejuvenation Centre dan LYC Mother & Child Centre, dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM60,000.
Nad rasa ini satu usaha yang sangat baik kerana ketika ibu berada dalam tempoh berpantang, perkara seperti kemudahan di sekeliling memang boleh membantu.
Peti sejuk pula sangat berkait dengan kehidupan ibu menyusu kerana penyimpanan susu ibu yang diperah memerlukan ruang yang bersih dan sesuai.
Perkakas seperti mesin basuh, mesin pengering dan mesin pencuci pinggan pula boleh membantu mengurangkan sedikit beban kerja harian.
Bila kerja rumah lebih mudah, ibu boleh mempunyai lebih banyak masa untuk berehat dan memberikan perhatian kepada bayi.
Explore rangkaian perkakas Toshiba
Nad sendiri memang suka tengok perkakas rumah sebab bila sudah ada anak, kita mula sedar bahawa peralatan di rumah bukan sekadar untuk nampak cantik.
Peti ais, mesin basuh, mesin pengering dan mesin pencuci pinggan semuanya boleh memainkan peranan dalam menjadikan rutin seharian lebih mudah.
Sebagai seorang ibu, kita memang hargai benda yang boleh menjimatkan masa dan tenaga.
Bayangkan selepas seharian menguruskan anak, kalau kerja membasuh dan mengeringkan pakaian dapat dilakukan dengan lebih mudah, sedikit sebanyak ia memberikan ruang untuk kita berehat.
Begitu juga dengan peti sejuk. Untuk ibu menyusu, penyimpanan susu yang diperah adalah antara perkara yang perlu diberi perhatian. Jadi, mempunyai ruang penyimpanan yang sesuai dan bersih memang penting.
Toshiba Malaysia Menerima anugerah " Sumbangan Peralatan Rumah Terbanyak kepada Pusat Penjagagaan Selepas Bersalin"
Atas sumbangan tersebut, Toshiba Lifestyle Malaysia turut menerima anugerah daripada Parenthood Records bagi kategori “Sumbangan Peralatan Rumah Terbanyak kepada Pusat Penjagaan Selepas Bersalin.”
Bagi saya, pengiktirafan ini bukan sekadar tentang jumlah peralatan yang disumbangkan, tetapi lebih kepada mesej bahawa golongan ibu memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak.
Kerjasama antara pihak swasta, komuniti, pakar kesihatan dan keluarga sangat penting untuk mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk ibu dan bayi.
Apa yang paling Nad bawa pulang daripada program ini ialah satu perkara yang sangat dekat dengan hati. Setiap ibu ada perjalanan masing-masing. Ada ibu yang berjaya menyusukan anak untuk tempoh yang lama. Ada yang berdepan pelbagai cabaran. Ada yang perlu mengepam. Ada yang menyusukan secara terus. Ada yang mungkin mempunyai perjalanan yang berbeza daripada apa yang dirancang.
Apa pun keadaannya, kita perlu lebih banyak menyokong daripada menghakimi.
Nad sendiri sebagai seorang mommy tahu bahawa perjalanan menyusukan anak bukan sesuatu yang mudah. Tetapi Nad tetap cuba buat yang terbaik mengikut kemampuan Nad pada waktu itu dan saya rasa itulah yang patut kita ingat tentang seorang ibu.
Dia mungkin penat, dia mungkin menangis, dia mungkin rasa tidak cukup bagus… tetapi selalunya dia sedang cuba memberikan yang terbaik untuk anaknya.
Sempena World Breastfeeding Month 2026 ini, saya harap lebih ramai ibu mendapat sokongan, ilmu dan persekitaran yang membantu mereka melalui perjalanan penyusuan dengan lebih yakin.











Add your comment