hai

Peraga Pakaian Lestari Di 'The Show' Oleh Pelajar Teknologi Reka Fesyen Taylor's - Dunia fesyen sekarang bagai 'cendawan tumbuh selepas hujan'. Macam-macam jenis fesyen baju, design yang direka oleh designer. Tanpa mereka sedar banyak kain yang tidak digunakan telah terbuang begitu sahaja. 

Taylor’s University, Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW), Life Line Clothing Malaysia Sdn Bhd (LLCM) bersama FASHINFIDELITY dan pereka fesyen Hatta Dolmat, telah bekerjasama dalam satu inisiatif untuk memperagakan pengeluaran pakaian lestari sebagai usaha menyokong fesyen beretika di Malaysia.



Peraga Pakaian Lestari Di 'The Show' Oleh Pelajar Teknologi Reka Fesyen Taylor's


Dengan tema ‘Love, Earth’ (‘Cinta, Bumi’) majlis ‘The Show’ dikelolakan oleh The Design School di Taylor’s University memperlihatkan koleksi sedia untuk dipakai kontemporari yang memperagakan hampir 60 rekaan yang dihasilkan oleh 24 orang pelajar program Teknologi Reka Fesyen merangkumi tiga semester.



Acara itu dibahagikan kepada tiga segmen iaitu :
1) Koleksi Experimental Art-to-Wear (ATW) (Seni Untuk Dipakai Eksperimental) daripada bahan denim dan potongan kain kitar semula.
2) Koleksi Zero Waste Fashion (Fesyen Sifar Buangan) menggunakan Teknik Melukis Corak Inovatif Taylor’s yang menggunakan setiap bahagian tekstil, 
3) Koleksi Fashion Revolution (Revolusi Fesyen) untuk menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (SDG) dengan mengguna semula tekstil daripada bahan buangan.






Nad sendiri telah hadir ke majlis 'The Show' untuk melihat sendiri baju yang direka oleh pelajar teknologi reka fesyen Taylor 's ini. Kagum nad dengan pelajar-pelajar ini sebab membuat baju daripada kain terpakai dan semua baju yang diperagakan dibuat dengan sangat kreatif daripada pelajar. Pakaian lestari ini direka melalui tiga kriteria lestari – bahan & komposisi, inovasi & pusingan, dan warisan & budaya.


Pengarah Program Sarjana Muda Teknologi Reka Fesyen Taylor’s (Kepujian) (FDT), Maria Sandra Wijaya, berkata tema The Show adalah tepat, kerana industri fesyen dikenal pasti sebagai pencemar kedua terbesar di dunia. “Budaya fesyen pantas adalah perniagaan yang menguntungkan, dan kami sedia maklum kepentingan mendidik pelajar kami tentang fesyen lestari dan pengetahuan berteknologi. Industri fesyen kreatif dan pereka fesyen mempunyai kuasa untuk mengubah trend semasa bagi memastikan masa depan yang lebih baik dengan menjaga alam sekitar,” katanya.

Bagi ketiga-tiga segmen The Show, LLCM menyediakan lebih 150kg fabrik dan denim kitar semula untuk digunakan oleh pelajar.

“Kami amat gembira dapat bekerjasama dengan pereka fesyen generasi baru dari Taylor’s dalam menggalakkan guna semula dan kitar semula fabrik, dalam usaha kami untuk mengurangkan jumlah pakaian yang dibuang ke tapak pembuangan. Kami mengumpul ratusan tan tekstil dalam seminggu yang sama ada boleh dijual sebagai pakaian terpakai, digunakan sebagai kain buruk, atau dihancurkan untuk dijadikan gentian atau biobahan api. Melihatkan bahan ini dijadikan pakaian pereka adalah suatu kaedah segar untuk memberikan tekstil ini kehidupan yang baru,”
kata Dale Warren, Ketua Pegawai Eksekutif Utama LLCM.



Siapa tak kenal dengan Hatta Dolmat, pereka fesyen terkenal yang menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Record sebagai pereka fesyen pertama menghasilkan koleksi lengkap berasaskan kelestarian dan mesra alam. Hatta telah membuat koleksi rangkaian aksesori dan beg yang diperbuat daripada botol plastik buangan. Baju yang dipakai semasa menghadiri 'The Show' ni pun diperbuat daripada bahan kitar semula.

Pelajar-pelajar ini telah diberi peluang bekerjasama dengan Hatta Dolmat dan juga  pemain industri seperti jurutera alam sekitar Najah Onn selama 14 minggu.  Mentor industri ini menjadi penasihat kepada pelajar dalam menyediakan konsep, membangunkan, mewujudkan dan menggayakan bentuk koleksi pakaian The Show.


"Pereka mempunyai peranan yang besar dalam mengubah semula kesan kemusnahan oleh rantaian bekalan fesyen linear hari ini ke atas manusia dan planet. Kelangsungan, sebagai pengakhiran selepas penggunaan optimum, perlu diutamakan dalam mana-mana rekaan. Berfikir tentang bagaimana fesyen atau produk tekstil boleh berubah kepada produk lain juga menjadikan pakaian berada dalam pusingan lebih lama. Menggunakan bahan inovatif juga boleh mengurangkan tekanan ke atas sumber Bumi kita, serta membantu biodegradasi dan penjelmaan semula pada akhir hayat,” kata Najah Onn, Jurutera Alam Sekitar dan Pakar Kelestarian.


Hatta Dolmat turut menambah bahawa beliau gembira menjadi mentor dan bekerja dengan pelajar FDT Taylor’s.

“Mereka adalah golongan muda yang berinspirasi dan terbuka untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang fesyen lestari dan beretika, dan memberi tumpuan untuk menangani isu alam sekitar dan sosial dengan menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) melalui pakaian yang direka. Saya gembira untuk bekerjasama dengan Taylor’s University kerana ia memberi peluang bermakna kepada saya untuk berkongsi pengalaman industri dengan pelajar reka fesyen yang baru meningkat naik ini, lebih-lebih lagi kerana mereka yang akan menerajui industri ini ke arah lebih baik,” kata Hatta.

Dipamerkan di Mayamode, sebuah studio fesyen kerja bersama pertama di Malaysia, pertunjukan fesyen ini dianjurkan oleh pelajar FDT yang turut bekerjasama dengan Andrew Tan, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif KLFW dan Pengarah Bersama program itu.

“Kami berbangga dengan pameran pentas fesyen hasil kerja pertama pelajar-pelajar ini, yang menunjukkan keupayaan mereka untuk menjadi kreatif dan lestari bagi produk mereka. Mereka semestinya mendapat faedah daripada kemudahan terbaik di Mayamode – daripada mesin membuat pakaian yang terkini, mesin menjahit gred industri bagi semua jenis bahan, pemplot corak, kemudahan melukis, dan pendigital corak yang mengurangkan sisa buangan menggunakan teknologi Lectra – yang membolehkan mereka mengira penggunaan fabrik dan menggunakan teknologi untuk mengurangkan sisa buangan,” katanya.

Dengan kreativiti dan kerjasama, dan selaras dengan ekosistem Taylor’sphere yang dibangunkan dengan teliti, Taylor’s University menggalakkan kerjasama antara disiplin yang bertujuan menyediakan pelajar dengan pengetahuan akademik, kebijaksanaan praktikal, serta keupayaan untuk menghasilkan rekaan dan menginovasi. Bagi The Show, pelajar Seni Bina Dalaman bekerjasama dengan pelajar FDT untuk menyiapkan Taylor’s Micro House dengan menggunakan bahan kitar semula seperti kemeja-T dan poly-al kitar semula yang disediakan oleh LLCM untuk mewujudkan hasil seni dan anyaman tekstur.

“Untuk itu, Taylor’s University terus menggalakkan pedagogi untuk memenuhi keperluan pasaran semasa dan membantu pembangunan sosial dan ekonomi negara. Program Teknologi Reka Fesyen kami adalah satu contoh bagaimana kami menggabungkan pembelajaran menggunakan teknologi dan pendekatan berasaskan impak dalam program sarjana muda kami. Dengan mengambil langkah untuk menyiapkan graduan kami bagi menghadapi landskap pekerjaan masa hadapan yang mencabar, matlamat utama The Show adalah untuk menerapkan kepada pelajar kami dengan kemahiran yang betul dan pengalaman untuk membangunkan kecerdasan dan kreativiti bagi menangani masalah kompleks,” kata Profesor Dr Pradeep Nair, Timbalan Naib Canselor dan Ketua Pegawai Akademik, Taylor’s University.





Orang ramai boleh membeli label fesyen pertama Taylor’s, MAYAMODE, yang mengemukakan fesyen rekaan pelajar, melalui platform jualan dalam talian yang juga mempunyai ruang jualan pertama di Mayamode, Taylor's University Lakeside Campus.



Mayamode adalah ruang inovatif dan kreatif yang beroperasi secara keahlian bagi pereka fesyen, usahawan fesyen, pekerja bebas, dan pereka fesyen baru di Asia Tenggara.

Untuk maklumat lanjut mengenai program Teknologi Reka Fesyen Taylor’s University, sila layari https://university.taylors.edu.my/en/study/undergraduate/design/fashion-design-technology.html

Bagi nad, bagus inisiatif pakaian lestari ini. Dapat membantu menjaga alam sekitar dan mengelakkan pembaziran. Harap sangat semua pereka fesyen mengambil tahu berkenaan pakaian lestari ini supaya ia berkembang luas dan dapat manfaat daripadanya.
SHARE 2 comments

Add your comment

  1. Cantik2 dan kreatif pakaian diorang buat

    ReplyDelete
  2. Semua student yang participated memang talented betul

    ReplyDelete

© Ceritera Si Gadis Biru · THEME BY WATDESIGNEXPRESS
#toc 2